suria

MAS: Isu Teknikal Punca Jemaah Umrah Malaysia Terkandas

Sebahagian jemaah umrah yang terkandas berkumpul di lobi sebuah hotel.

PETALING JAYA: Insiden lebih 2,000 jemaah umrah rakyat Malaysia yang terkandas di Kuala Lumpur dan Madinah disebabkan isu teknikal.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan pada petang Selasa berkata, sebuah pesawat sewa khas untuk membawa umrah perlu diselenggara. 

"Penerbangan sewa khas antara Kuala Lumpur dan Madinah mengalami kelewatan disebabkan sebuah pesawat yang perlu menjalani penyelenggaraan tidak berjadual untuk pembaikan segera disebabkan isu teknikal," kata syarikat penerbangan itu.

Menurut syarikat penerbangan nasional itu, ia sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan bagi memenuhi tanggungjawab terhadap jemaah supaya mereka dapat menunaikan umrah dengan selamat. 

"Malaysia Airlines amat kesal terhadap sebarang kesulitan yang dialami jemaah. Keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan.

"Malaysia Airlines berusaha mengendalikan penerbangan tambahan bagi mengembalikan operasi seperti biasa," katanya.

Tambah syarikat penerbangan itu, kemudahan penginapan, makanan dan minuman disediakan kepada jemaah yang terjejas. 

Malaysia Airlines juga bekerjasama dengan wakil agensi pengembaraan bagi mengatur semula jadual penerbangan berikutan kelewatan yang berlaku.

Bagaimanapun seorang jemaah yang terkandas sejak Ahad lalu memberitahu mStar Online bahawa jadual penerbangan baharu telah ditetapkan pada pukul 3 pagi Rabu.

"Saya dapat maklumat daripada agensi mengenai penerbangan kami pada pukul 3 pagi," katanya secara ringkas.

Terdahulu, Pengarah Urusan Rayhar Travels, Harun Ahmmu berkata, Malaysia Airlines memaklumkan penerbangan ke Madinah bagi jemaah Rayhar dan Andalusia yang terkandas sejak Isnin telah dijadualkan pada pukul 8 pagi Rabu.

Dilaporkan, lebih 2,000 jemaah umrah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Madinah sejak Ahad.

Difahamkan, ia melibatkan kira-kira 1,200 jemaah bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Madinah, dan 1,200 jemaah lagi bagi penerbangan dari Madinah ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, beberapa agensi yang menguruskan jemaah umrah terjejas akibat kelewatan itu adalah TH Travel and Services, Rayhar Travels, Zahafiz Travel and Tours, MR Travel and Services dan Andalusia Travel and Tours.

umrah, Malaysia Airlines

Artikel Lain