suria

Kecuaian Juruterbang Di Sebalik Nahas Helikopter Di Semenyih

Clifford William Fournier

KUALA LUMPUR: Kecuaian juruterbang merupakan antara punca nahas helikopter yang mengorbankan Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain di Semenyih, Selangor, pada 4 April tahun lepas.

Laporan akhir nahas helikopter Dauphin 9M-IGB itu mendedahkan bahawa juruterbang, Kapten Clifford Fournier gagal menilai kerosakan secara terperinci selepas melakukan pendaratan kasar di padang bola Sekolah Kebangsaan Ladang Kota Bahagian di Muadzam Shah, Pahang.

Laporan setebal 117 muka surat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kementerian Pengangkutan, itu menyatakan pendaratan kasar itu menyebabkan gear pendaratan utama sebelah kiri terbenam 20 inci ke dalam tanah gegai.

"Juruterbang itu gagal memeriksa kerosakan pada gear pendaratan utama sebelah kiri biarpun mengetahui berlaku kebocoran minyak dan kerosakan bahagian lain sebelum memutuskan untuk terus terbang ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

"Sirip tegak yang dilekatkan pada pentsabil mendatar terhentak dengan tanah dan kemudian mematahkan punca penstabil mendatar dalam helikopter.

"Seorang saksi melihat juruterbang itu keluar daripada helikopter dan mengiring penumpang yang keluar supaya mengosongkan kawasan rotor utama.

"Bagaimanapun, beliau tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter tersebut," menurut laporan akhir yang dimuat naik dalam laman web rasmi Kementerian Pengangkutan (www.mot.gov.my) pada Jumaat lepas.

Selain Allahyarham Jamaluddin, nahas di Kampung Sungai Pening, Semenyih itu turut mengorbankan juruterbang Fournier, ketua setiausaha sulit di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang, pengawal peribadi Jamaluddin, Koperal Razkan Seran dan pembantu operasi, Aidana Baizieva.

Kesemua mangsa dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang.

Menurut laporan itu, faktor lain menyumbang kepada nahas itu ialah kelajuan menurun bersama dengan kerosakan gear pendaratan meletakkan beban berlebihan pada penstabil mendatar kiri yang patah.

"Desakan penumpang untuk pulang beberapa kali telah mewujudkan tekanan kepada juruterbang untuk tergesa-gesa pulang dengan segera,' menurut laporan itu.

Dapatan laporan itu mendapati wujud bukti kebocoran cecair berlebihan dalam lubang akibat gear pendaratan sebelah kiri serta atas rumput kira-kira 10 meter di hadapan titik pendaratan.

"Cecair itu mungkin daripada topang hentak gear pendaratan sebelah kiri dan sistem brek hidraulik. Bagaimanapun, tiada amaran kebocoran minyak hidraulik ternyala daslam helikopter semasa juruterbang melakukan pemeriksaan sebelum berlepas," menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut juruterbang itu mahir dalam mengendalikan helikopter tersebut dan kontrak penyelenggaraan dengan Airbus Helicopter dilakukan mengikut jadual tanpa anomali dalam dokumen penyelenggaraan.

Menurut laporan awal yang keluarkan pada 14 Mei tahun lepas menunjukkan punca nahas dipercayai akibat kerosakan pada pentsabil helikopter.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain