suria

Kanak-Kanak Lelaki Dilarikan Di Johor Baharu Ditemui Selamat

Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd

JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilarikan dua individu tidak dikenali di Taman Melodies di sini pada Sabtu lepas, ditemui selamat oleh orang awam pada Isnin.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kanak-kanak berusia enam tahun itu ditinggalkan suspek di kawasan taman permainan kanak-kanak di Teluk Danga di sini, sebelum ditemui orang ramai.

"Berdasarkan pemeriksaan, kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Dalam kejadian Sabtu lalu, polis menerima laporan sebuah kenderaan jenis BMW 740i dilarikan oleh dua suspek yang tidak dikenal pasti di Jalan Beringin di Taman Melodies di sini.

Di dalam kenderaan itu, terdapat seorang kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Najmuddin berkata kenderaan itu telah ditemukan semula di Jalan Impian Emas 5/1, Taman Impian Emas dekat Skudai semalam dipercayai turut ditinggalkan suspek.

Polis kini sedang memburu dua suspek terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata dan culik.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan orang dewasa. 

Polis, Johor Baharu

Artikel Lain