suria

Polis Cari Dua Individu Susulan 'Ludah' Durian Di Gombak

KUALA LUMPUR: Polis sedang mencari pekerja gerai durian yang dikaitkan dengan insiden 'meludah' isi buah itu sebelum dijual kepada pelanggan di Taman Sri Gombak.

Pada masa sama, polis turut mencari pemilik akaun Facebook di mana rakaman insiden itu dimuat naik.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata siasatan awal mendapati pekerja warga Indonesia berusia sekitar 20-an itu hanya meniup serangga yang hinggap pada buah itu.

Susulan insiden kira-kira pukul 3.30 petang Rabu itu, Ali berkata polis menahan pemilik gerai durian warga Indonesia berusia 53 tahun yang memiliki status pemastautin tetap di negara ini, bagi membantu siasatan.

"Gerai itu baru sahaja lima hari beroperasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tugasan syif bagi unit kereta peronda MPV di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, Khamis.

Mengenai akaun Facebook yang dikenali sebagai 'lonely stone cool' itu, Ali berkata polis mendapati akaun yang sebelum ini memaparkan video berdurasi satu minit dan 48 saat itu, telah dipadamkan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang Mohamad Zin Masoad ketika dihubungi Bernama berkata gerai itu tidak mempunyai lesen dan beliau dimaklumkan ia telah ditutup setelah ditegur penduduk setempat.

Sementara itu, IPD Gombak pada Khamis menerima empat MPV baharu bagi menjalankan rondaan cegah jenayah di 17 sektor sekitar daerah berkenaan melalui lima syif sehari berbanding empat sebelum ini. -Bernama

Ludah Durian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain