suria

Adam Mukhriz Amat Merindui Noriah

Ummu Hani mendukung Adam Mukhriz.

KUALA SELANGOR: Adam Mukhriz, 3, anak angkat kepada Datuk Noriah Kasnon amat merindui ibunya itu.

Perkara itu diluahkan anak saudara kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkenaan, Ummu Hani Asaidah Abdullah ketika ditemui pemberita di Kampung Batu 12 di Sungai Burong, Tanjung Karang di sini, malam Jumaat.

Ummu Hani yang menjaga kanak-kanak lelaki itu sejak Khamis berkata Adam kelihatan bertambah gelisah setiap kali apabila dia bertanya mengenai ibunya.

"Kadang-kadang dia hanya termenung kosong dan ada kalanya dia bertanya di mana ibunya.

"Saya tidak tahu apa lagi yang patut diperkatakan selain memberitahu bahawa ibunya akan segera balik.

"Saya sangat sedih," katanya.

Ummu Hani dilihat mendukung Adam dan kanak-kanak itu tidak sedar apa yang berlaku ke atas Noriah yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak.

"Adam sangat rapat dengan Datuk Noriah yang menjaganya sejak dia masih bayi lagi.

"Ia benar-benar menyedihkan, berfikir bagaimana untuk memberitahunya apa yang telah berlaku kepada mama," kata Ummu Hani.

Difahamkan anak-anak Noriah akan menjaga kanak-kanak lelaki itu selepas pemergian ibu mereka.

Noriah mengambil Adam yang ditinggalkan di Sungai Burong di sini sebagai anak angkat tiga tahun lalu.

Beliau merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2013.

Noriah bersama suaminya, Asmuni Abdullah antara penumpang yang berada di dalam helikopter yang dinaiki bersama empat lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.

Turut menaiki helikopter sama ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang tersebut.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain