suria

Ramadan: Kerajaan Pertimbang Pendekkan Waktu Rehat Penjawat Awam

BATU PAHAT: Kerajaan sedia menimbang cadangan memendekkan waktu rehat selama setengah jam untuk penjawat awam semasa Ramadan bermula bulan depan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk diperhalusi.

"Pihak kami terbuka dan sedia menerima apa-apa cadangan...akan bawa perkara itu ke peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, Khamis.

Beliau berkata pihaknya bersetuju menimbang cadangan pemendekkan waktu rehat  kerana ia dilihat tidak menjejaskan aktiviti dan operasi perkhidmatan penjawat awam sepanjang Ramadan nanti.

Cadangan itu dikemukakan seorang penjawat awam di dalam sebuah akhbar baru-baru ini, yang meminta waktu rehat dipendekkan supaya mereka boleh pulang dari kerja lebih awal.

Sementara itu, Ali berkata kerajaan, menerusi sebuah Jawatankuasa Khas, memutuskan untuk menyerap 2,000 penjawat awam kontrak kepada jawatan tetap setiap tahun.

Beliau berkata keputusan itu dibuat tahun lepas setelah mengkaji permasalahan penjawat awam kontrak.

"Antara syarat melayakkan penjawat awam kontrak diserap ialah sudah berkhidmat 15 tahun dan mempunyai prestasi kerja yang bagus serta penilaian yang baik daripada Ketua Jabatan masing-masing," katanya.

Beliau berkata setiap tahun, kira-kira 50,000 hingga 70,000 orang yang berkelayakan memohon mengisi 25,000 kekosongan di dalam sektor perkhidmatan awam. - BERNAMA

penjawat awam, Ramadan, waktu rehat

Artikel Lain