suria

Jumlah Kedatangan Murid SK Tohoi Meningkat

KOTA BAHARU: Jumlah kedatangan murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi semakin meningkat selepas pelbagai kaedah dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam menangani masalah ponteng kelas.

Pengarah Pendidikan Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata antara kaedah yang dilaksanakan adalah mewujudkan skuad kaunseling daripada kedua-dua agensi itu serta dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Orang Asli Kelantan dan Yayasan Orang Asli Malaysia dalam usaha memberi kesedaran kepada ibu bapa masyarakat itu untuk menghantar anak-anak mereka kembali ke sekolah.

"Alhamdulillah, sejak pendekatan ini digunakan, peratusan murid-murid kembali ke sekolah meningkat daripada 41.26 peratus (selepas Cuti Pertengahan Penggal pada minggu kelapan) kepada 46.64 peratus (minggu kesembilan) dan 54.71 peratus (minggu kesepuluh sehingga 15 Okt).

"Kita akui sukar untuk memujuk masyarakat ini selepas mereka 'terluka', namun kehadiran beberapa NGO nyata mula mengubah keadaan kerana mereka juga mempunyai pertalian saudara dengan masyarakat Orang Asli di Pos Tohoi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama JAKOA di pejabatnya baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JAKOA Nisra Nisran Asra Ramlan dan Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu Nik Man Nik Ya.

Beliau berkata SK Tohoi mempunyai seramai 223 orang murid dan jumlah kehadiran sebelum kejadian kehilangan tujuh murid Orang Asli berlaku adalah kira-kira 85 peratus pada 2 Ogos.

"Bagaimanapun, selepas tujuh murid itu hilang, kedatangan murid mula menurun kepada 78.48 peratus pada minggu keempat dan seminggu kemudian kepada 49.78 peratus.

"Ia kembali meningkat pada minggu ketujuh dan kelapan apabila kehadiran mencecah 67.26 peratus tetapi selepas Cuti Pertengahan Penggal pada 20 Sept hingga 27 Sept, kehadiran murid adalah 41.26 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata penurunan mendadak murid SK Tohoi selepas cuti persekolahan itu kerana kedudukan kampung yang berselerak serta terpaksa menggunakan jalan balak menyukarkan mereka untuk kembali ke asrama, selain masih terkesan dengan insiden berkenaan.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada sesetengah ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang ada anak-anak mereka akan bertindak melarikan diri dari asrama walaupun kenderaan telah disediakan.

Tujuh murid SK Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dikenakan hukuman kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Dua murid iaitu Norieen dan Miksudiar Aluj, 11, ditemui hidup pada 9 Okt selepas hilang selama 48 hari di dalam hutan, manakala empat rakannya - Ayel, 7, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7 - ditemui maut.

Gerakan mengesan seorang lagi murid, Sasa Sobrie, 8, masih diteruskan.

SK Tohoi, Gua Musang, Orang Asli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain