suria

MPN Rangka Pelan Tindakan Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur

Perbincangan meja bulat Majlis Profesor Negara 'Penilaian Program Dasar Pandang Ke Timur' pada Khamis.

PUTRAJAYA: Pelan tindakan gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur (LEP 2.0) dirangka bagi mewujudkan program yang lebih jelas dalam pembangunan modal insan berdasarkan budaya dan nilai kerja serta perniagaan di Jepun dan Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, ia merupakan susulan kepada LEP 1.0 yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama lebih 30 tahun sejak 1982 apabila Malaysia memperoleh banyak manfat dalam pelaburan asing.

Beliau berkata, seramai 18,000 graduan menamatkan pengajian di bawah dasar berkenaan.

Menurutnya, kerangka berkenaan akan dilakukan oleh MPN berdasarkan perbincangan dan penilaian yang dibuat oleh kumpulan pakar pelbagai bidang dan agensi terhadap kesan dan keberkesanan LEP 1.0.

“Kerangka yang lebih jelas ini bertujuan untuk mengadakan program-progam lebih terancang dalam pelaksanaan gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur.

“Berdasarkan input yang kita dapat, usulkan satu pelan tindakan untuk disarankan kepada kerajaan,” katanya pada sidang media sempena perbincangan meja bulat Majlis Profesor Negara ‘Penilaian Program Dasar Pandang Ke Timur’, di sini, Khamis.

LEP 2.0 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 memberi tumpuan khusus kepada kerjasama ekonomi seiring dengan Program Transformasi Ekonomi Malaysia dan Inisiatif Ekonomi Kreatif Jepun dan Korea Selatan.



Perbincangan melibatkan golongan profesor dan panel daripada pelbagai bidang dan agensi.

Raduan berkata, antara penekanan dalam LEP 2.0 adalah aspek perniagaan namun masih mengekalkan usaha membangunkan pembangunan modal insan.

Antara lain katanya, ia turut memberi tumpuan kepada bidang-bidang baharu yang belum diterokai melibatkan teknologi.

“Kita masih mencari jalan bagaimana etika dan nilai kerja itu dapat dikongsikan oleh masyarakat kita bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Kita masih meneruskan usaha untuk pembangunan modal insan dengan menghantar pelajar-pelajar kita menyertai pengajian dan latihan serta perkongsian teknologi di Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Mengenai sidang meja bulat pada Khamis, Raduan berkata, ia merupakan perbincangan bagi persediaan awal dalam penilaian LEP 1.0 dan juga membentangkan cadangan mengenai pelaksanaan inisiatif dan pembangunan modal insan menerusi LEP 2.0.

Perbincangan yang disertai oleh kira-kira 20 golongan profesor dalam pelbagai bidang dari seluruh negara, turut melibatkan empat panel iaitu Ketua Kluster Sains dan Matematik MPN, Prof Dr Mohd Sahar Yahya; Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datin Dr Roslina Ahmad Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Abdul Karim Mustafa dan Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi MPN, Prof Datuk Halimah Badioze Zaman.  

Artikel Lain