suria

MH370: Waris Anak Kapal Belum Buat Tuntutan Perkeso

TEMERLOH: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata anggota keluarga kepada 12 anak kapal MH370 yang mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih belum membuat sebarang tuntutan dengan agensi tersebut.

Justeru, beliau menasihati waris mangsa supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan bayaran pampasan awal dapat diberikan kepada mereka sebelum bayaran selanjutnya dibuat.

"Bayaran akan dibuat berdasarkan kepada penyata gaji serta laporan kemalangan, jadi kita minta waris mangsa agar dapat segera menghubungi Perkeso untuk membuat tuntutan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek faedah Perkeso kepada 20 pencarum dan jamuan Hari Raya Aidilfitri di sini, Jumaat.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohd Azman Mohamed.

Ismail berkata waris kepada anak kapal MH370 itu akan dibayar di bawah Skim Pencen Penakat dan akan menerimanya secara bulanan selagi waris berkenaan masih hidup.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa sayap pesawat atau flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Pesawat Boeing 777 MH370, yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang,  hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac tahun lepas.

Pada 29 Jan lepas, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengumumkan kehilangan pesawat itu adalah satu kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa dan semua 239 penumpang serta anak kapal di dalamnya dianggap meninggal dunia.

MH370, MAS

Artikel Lain