suria

Rayuan SPR Bagi Cadangan Persempadanan Sarawak Dibenar

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara membenarkan rayuan SPR dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan notis SPR itu batal dan tak sah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan keputusan itu berkata notis SPR mematuhi peruntukan Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Turut bersidang Hakim Tan Sri Idrus Harun.

Panel itu bagaimanapun, menolak rayuan balas yang dikemukakan oleh responden Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Lintang, See Chee How dan seorang pengundi di Ulu Baram, Pauls Baya yang memohon bagi variasi keputusan Mahkamah Tinggi, diputuskan pada 15 Mei lepas.

Dalam persempadanan semula itu, SPR memohon untuk mewujudkan 11 kawasan pilihan raya baharu, meningkat daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri kepada 82.

Pada 15 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kuching mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu mempunyai butiran yang terhad, dan mengarahkan SPR mengeluarkan semula notis tersebut.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie mengeluarkan arahan tambahan mengisytiharkan notis SPR mengenai cadangannya bagi persempadanan semula adalah batal dan tak sah selepas memutuskan notis itu tidak mematuhi Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.
persempadanan, Sarawak, SPR

Artikel Lain