suria

BN Letak Calon Untuk Bantu Rakyat - Muhyiddin

BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya bukan semata-mata untuk menjadi wakil rakyat tetapi lebih kepada membantu menyelesaikan masalah rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengerusi BN itu berkata itu selaras dengan komitmen kerajaan yang ditunjangi BN untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum, keturunan, agama dan latar belakang.

"Yang miskin kena bantu, yang tidak berupaya dibantu. Yang tiada pekerjaan kita tolong, baru jadi kerajaan yang baik. Dengan sokongan rakyat, kita boleh jalankan kerja-kerja kita dengan lebih sempurna," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India di sini, Khamis.

Katanya sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau tahu apa yang rakyat mahukan dan keresahan yang difikirkan.

"Dalam kepala saya boleh nampak (isu) GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), top-up, soal barang-barang, soal pergi pasar (harga barang naik), pakaian anak, semua ada dalam kepala," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan yang dipilih rakyat mestilah kerajaan yang faham apa masalah rakyat dan perlu berbuat sesuatu supaya rakyat tidak menjadi miskin.

"Apa cara kerajaan boleh bantu rakyat supaya beban hidup itu tidak berterusan. Kerana itu kita beri BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Walaupun ada yang tak sokong BR1M ini tetapi saya sokong. Ini duit daripada subsidi minyak.

"Satu tahun dah jimat RM24 bilion bila harga minyak dah diapungkan...boleh selamatkan duit. Kita beri balik kepada rakyat..ini subsidi tersasar.

"Subsidi kepada orang yang perlukan bantuan sahaja. Orang kaya-kaya tak perlukan subsidi. Ambil daripada orang kaya beri kepada orang miskin," kata Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat India di kawasan Parlimen Permatang Pauh supaya mengundi calon BN Suhaimi Sabudin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh 7 Mei ini bagi menjamin masa depan yang lebih baik buat penduduk Permatang Pauh.

"Yang penting beri sokongan untuk beliau menang menjadi wakil rakyat.

Kemudian dia akan memanggil pemimpin-pemimpin MIC bagi membincangkan masalah masyarakat India di Permatang Pauh...masalah perumahan yang tidak dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang, masalah kuil, dewan," katanya.

PRK Permatang Pauh 7 Mei menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

BN, Permatang Pauh

Artikel Lain