suria

'Terima Kasih Ahli Umno Nasihatkan Saya Supaya Tak Serang Najib' - Tun M

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis 'berterima kasih' kepada ahli Umno kerana menasihatkannya supaya tidak 'menyerang' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas perdana menteri itu menerusi kenyataannya di blog, chedet.cc pada Khamis berkata, beliau mempunyai pengalaman yang sedikit dalam bidang politik terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu.

"Saya ucap terima kasih kerana ada ahli-ahli akar umbi Umno yang menasihati saya supaya tidak 'menyerang' Datuk Seri Najib, Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. 

"Saya punyai sedikit pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu. Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin

"Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah," katanya menerusi blog chedet.cc.

Dr Mahathir berkata, beliau berhadap diberikan peluang untuk menjelaskan mengapa beliau 'menyerang' Najib.

Berikut merupakan kenyataan penuh Dr Mahathir menerusi blognya pada Khamis:

1. Saya ucap terima kasih kerana ada ahli-ahli akar umbi Umno yang menasihati saya supaya tidak 'menyerang' Datuk Seri Najib, Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

2. Saya punyai sedikit pengalaman dalam bidang politik, terutama yang berkaitan dengan budaya Melayu. Kita cenderung untuk setia kepada pemimpin. Kita tidak soal apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin. Dia pemimpin, kita pengikut. Oleh itu, ikut sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita diberi penerangan olehnya secara tertutup seolah-olah kita dapat berkongsi rahsia dengan pemimpin kita.

3. Tetapi untuk kita membuat keputusan atau menghukum secara bijak, secara adil kita perlu dengar kedua-dua belah pihak.

4. Jika ada yang fikir saya merosakkan parti, saya harap saya diberi peluang untuk menjelaskan kenapa saya 'menyerang' Datuk Seri Najib. Bagi saya serangan ini mungkin tidak menyenangkan Najib dan sebahagian daripada ahli Umno tetapi sebabnya ialah kerana saya ingin menyelamatkan Umno, parti keramat yang dahulu disokong sehingga menang 2/3 tiap PRU (pilihan raya umum)

5. Hanya mereka yang tidak dapat lihat sahaja yang tidak sedar bahawa Umno dibawah Datuk Seri Najib telah gagal memulih Umno selepas Tun Abdullah. Kemenangan Najib lebih tipis.

6. Saya harap saya diberi peluang berjumpa dengan ahli Umno biasa untuk menerang akan masalah kehilangan berbillion ringgit oleh Datuk Seri Najib. Lepas mendengar kedua-dua pihak adililah terhadap 'serangan' saya. Apakah saya sedang merosakan parti atau mencuba menyelamatkanya.


Artikel Lain