suria

Jakim Sokong Langkah Kelantan Bawa Akta 355 Ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong langkah kerajaan negeri Kelantan membawa rang undang-undang persendirian Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pesalah jenayah negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata ia juga merupakan perjuangan Jakim dan kerajaan sejak sekian lama dalam usaha memastikan undang-undang syariah dilaksanakan di negara ini.

"Dalam perkembangan mengenai hudud, kita tak mahu orang ramai keliru, rang undang-undang persendirian yang sedang dibawa oleh Presiden PAS Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) ke Parlimen sekarang ini adalah Akta 355 dan bukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri yang telah diluluskan oleh DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan.

"Ia bagi menaikkan kadar hukuman pesalah jenayah negara ini ke kadar lebih tinggi atau maksimum yang dibenarkan oleh syarak. Jika kita tidak setuju apa yang menjadi perjuangan kita (Jakim) sejak bertahun-tahun dulu, maka ia tidak akan terjadi," kata Othman dalam ucapan beliau selepas merasmikan penangguhan Persidangan Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) Peringkat Kebangsaan 2015 di sini Jumaat.

Namun Othman berkata perkara itu terpulang kepada Parlimen yang mempunyai peraturan tersendiri bagi meluluskan usul berkenaan dibentangkan.

Sementara itu, dalam sidang media, Othman mengulas mengenai kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad yang mencadangkan agar umat Islam negara ini dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kerana telah membayar zakat.

Othman berkata perkara itu akan diteliti namun perlu memberi laluan kepada cukai itu dilaksanakan dalam tempoh tertentu seperti yang dikatakan oleh kerajaan.


Persidangan PTAD diadakan dua hari bermula 22 April bersempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-58. 
Persidangan kali ini melibatkan 100 peserta dengan objektif meningkatkan tahap profesionalisme peserta selaras dengan tugas mereka sebagai PTAD.

Artikel Lain