suria

Empat Juruterbang Jupiter Indonesia Selamat

Juruterbang pesawat Jupiter Aerobatic menyelamatkan diri menggunakan payung terjun selepas keluar daripada pesawat masing-masing.

PETALING JAYA: Empat juruterbang pasukan Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia yang terlibat dalam insiden pesawat terhempas pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi (Lima 2015) dilaporkan selamat.

Menerusi kenyataan, penganjur HW Lima berkata keempat-empat juruterbang berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Langkawi.

Mereka dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Keempat-empat juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) dikenali sebagai Arief Hartono, Sri Rahardjo, H.S Romas dan Hunaidi Syarif Romas.

"Operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia berjaya menemui kesemua juruterbang dalam masa beberapa minit selepas insiden berlaku.

"Mereka ditemui di Kedawang, kira-kira 11.3km dari Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri," demikian menurut kenyataan itu.

Tentera Udara Indonesia dan Tentera Udara Diraja Malaysia membentuk satu pasukan bersama untuk menyiasat kejadian itu.

Kedua-dua pesawat pasukan Jupiter itu terhempas selepas bergeser sesama sendiri ketika mengadakan latihan bersempena Lima yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini.

Lima 2015, Jupiter Aerobatic

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain