suria

Cubaan OKT Kes Dadah Loloskan Diri Gagal

BESUT: Cubaan seorang suspek kes dadah melarikan diri dengan berpura-pura sakit ketika mendapatkan rawatan gagal apabila lelaki yang dikategorikan Orang Kena Tangkap (OKT) itu ditahan semula selang lima jam kemudian hasil kecekapan polis Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata dalam kejadian yang berlaku semalam, suspek yang berumur 24 tahun itu telah dihantar anggota polis bagi menerima rawatan di Hospital Daerah Besut pada pukul 1 tengah hari.

Ini berikutan suspek berkenaan mengadu sesak nafas, batuk dan muntah berdarah ketika dalam tahanan di Balai Polis Kampung Raja, di sini.

"Semasa di hospital, suspek yang memakai pakaian OKT berwarna ungu dan digari telah diperiksa oleh pegawai perubatan dengan diiringi anggota pengiring.

Ketika anggota pengiring berurusan untuk mengambil laporan dengan pegawai perubatan, suspek telah mengambil peluang meloloskan dirinya," katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.

Sejurus kehilangan OKT itu, sepasukan polis telah digerakkan bagi mencari sebelum berjaya mengesan kedudukan dan menangkap semula suspek yang bersembunyi dalam semak di Kampung Gong Nering kira-kira 6 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan di bawah pengawasan di Ibu pejabat Polis Daerah Besut.

Orang Kena Tangkap

Artikel Lain