suria

Usaha Terakhir: Australia Cadang Pertukaran Banduan Dengan Indonesia

Dua banduan warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran bakal menjalani hukuman tembak di Indonesia.

SYDNEY: Australia mencadangkan Indonesia melakukan pertukaran banduan dalam tempoh 11 jam bagi menyelamatkan dua penyeludup dadah yang bakal berdepan hukuman mati.

Cadangan itu dibuat sebagai langkah keprihatinan Australia dalam menjaga hubungan antarabangsa dengan negara Indonesia.

Dua banduan warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran yang merupakan pengedar dadah dari kumpulan "Bali Nine" bakal menjalani hukuman mati dalam tempoh terdekat selepas dipindahkan ke Pulau Nusakambangan pada Rabu.

Pihak berkuasa Indonesia dilapor perlu memberi notis, 72 jam sebelum hukuman mati itu dilaksanakan dan sebagai usaha terakhir Menteri Luar Australia, Julie Bishop mencadangkan pertukaran banduan dilakukan secepat mungkin.

Menurut Julie, satu panggilan telah dibuat dengan rakan sejawatnya di Indonesia iaitu Retno Marsudi.

"Saya telah bercakap dengan beliau mengenai perkara ini dan akan cuba mencari jalan dan peluang untuk menyelamatkan nyawa kedua-dua tahanan tersebut.

"Beliau akan menyampaikan pandangan saya ini kepada presiden.

"Saya tidak mendapat maklumat dengan lebih mendalam, cuma ketika ini saya diberitahu banduan warga Australia berada di Jakarta dan terdapat juga banduan Indonesia di Australia. Jadi ini merupakan suatu peluang untuk kita melakukan pertukaran banduan jika dibenarkan oleh undang-undang Indonesia," kata Bishop kepada radio ABC.

The Sydney Morning Herald melaporkan, pertukaran itu melibatkan tiga warga Indonesia yang ditahan di Australia atas kesalahan dadah.

Banduan yang dimaksudkan ialah Kristito Mandagi, Saud Siregar dan Ismunandar - mereka didapati bersalah membawa 390 kilogram heroin sebelum dirampas berhampiran Port Macquarie, kira-kira 400 kilometer utara Sydney.

Indonesia, Australia

Artikel Lain