suria

Dapatkan Rawatan Segera Jika Syak Dijangkiti Denggi - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tweet terbaharunya, yang kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu, mengingatkan orang ramai sekali lagi supaya berwaspada dengan jangkitan demam denggi.

Tweet pertama perdana menteri mengenai ancaman demam denggi ialah pada 17 Feb, menunjukkan beliau memandang serius mengenai ancaman demam denggi di Malaysia yang telah meragut 62 nyawa dalam masa dua bulan tahun ini, berbanding 29 tahun lepas untuk tempoh yang sama.

Najib menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya disyaki diserang demam denggi.

Dalam laman Twitter @NajibRazak, beliau turut menyatakan simptom-simptom demam denggi yang perlu diberi perhatian.

Antaranya sakit kepala, demam panas, sakit di belakang mata, sakit badan, pendarahan ringan gusi, hidung atau di bawah kulit dan ruam kulit.

Dari Januari hingga Februari tahun ini sahaja, sebanyak 23,630 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara berbanding 16,053 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ancaman demam denggi meningkat terutama negara kini melalui musim panas dan kering.

Denggi

Artikel Lain