suria

MLKN Akan Pertingkat Tahap Keselamatan Di 81 Kem PLKN

ALOR GAJAH: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mempertingkatkan tahap keselamatan di 81 kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara sepanjang tempoh penangguhan sementara pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, usaha tersebut adalah bagi meningkatkan lagi keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka bagi mengikuti program tersebut yang akan disambung tahun depan.

"Dalam tempoh penangguhan sementara program ini, ia memberi peluang kepada kita untuk menambah baik perkhidmatan yang ada dan ini penting kerana rata-rata ibu bapa melihat keselamatan sebagai aspek penting," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Program PLKN Kumpulan 1 Siri 12 Tahun 2015 di Kem PLKN Jaya Gemilang A'Famosa di sini, Khamis.

Sebanyak 30,342 pelatih PLKN bagi Kumpulan 1 Siri 12 Tahun 2015 dari 81 kem PLKN seluruh negara berjaya menamatkan latihan terakhir pprogram itu untuk tahun ini.

Peserta PLKN sebelum ini menjalani latihan bermula 6 Disember ini hingga 14 Februari 2015.

Pada 20 Januari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara mengumumkan penangguhan program tersebut bagi membolehkan kerajaan menjimatkan RM400 juta untuk kepentingan pembangunan.

PLKN, yang mula dilaksanakan pada 2004, merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di pusat latihan seluruh Malaysia bagi mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah atau berumur 17 tahun ke atas.


PLKN, kem, MLKN

Artikel Lain