suria

Kabinet Mahu Ismail Sabri Segera Beri Penjelasan

Liow Tiong Lai.

PETALING JAYA: Kabinet telah mengarahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kenyataannya sebelum ini, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam satu kenyataan, Tiong Lai berkata, masyarakat Cina sangat tidak berpuas hati dengan posting yang dimuat naik di akaun Facebook milik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Februari lalu  yang didakwa meminta rakyat memboikot pemborong Cina.

"Kenyataan menteri itu telah menimbulkan kekecohan. Kabinet telah mengarahkan agar isu tersebut segera diselesaikan bagi mengelakkan ia semakin serius," katanya. 

Beliau berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MCA yang diadakan pada Selasa telah bersetuju agar Ismail Sabri menarik balik kenyataannya sebelum ini. 

"Kami telah memaklumkan kepada Kabinet keputusan tersebut," katanya sambil menambah MCA juga telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai pendirian parti itu dalam isu berkenaan. 

Selepas kejadian tersebut, Ismail Sabri telah memadamkan status berkenaan daripada akaun Facebooknya dan beliau menjelaskan arahan memboikot itu hanya ditujukan kepada pemborong Cina yang enggan menurunkan harga barangan keperluan walaupun harga minyak telah turun. 

Lewat malam Khamis, Ismail Sabri dilaporkan berkata, Kabinet telah meminta beliau memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan dan beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Tiong Lai sebelum sambutan Tahun Baru Cina. 

Beliau dilaporkan berkata, Kabinet mahu sebarang pertelingkahan antara pemimpin Umno dan MCA segera diselesaikan kerana ia akan memberikan kesan kepada Barisan Nasional. 


Artikel Lain