suria

Mesin Pengimbas Di Lapangan Terbang Kecil Elak Seludup Dadah

MIRI: Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan melengkapkan lapangan terbang kecil di Sarawak dan Sabah dengan pengimbas berteknologi tinggi untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan dadah, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan perlu bertindak pantas dengan perkara ini memandangkan penyeludup dadah menukar taktik dan menyeludup dadah melalui lapangan terbang kecil berikutan tiada kemudahan mesin pengimbas.

"Ia akan menjadi keutamaan dan saya akan mencadangkan kepada pegawai tertinggi Kementerian Kewangan untuk mengkaji perkara itu," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan untuk peniaga-peniaga bumiputera di sini.

Semalam, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan sebagai berkata lapangan terbang kecil di Sarawak dan Sabah kini menjadi sasaran  penyeludup dadah untuk membawa dadah berikutan lapangan terbang ini tiada kemudahan mesin pengimbas dan menghadapi kekurangan tenaga kerja.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim juga dilaporkan sebagai berkata semalam bahawa lapangan terbang Mulu di Sarawak disyaki menjadi antara pintu masuk kerana ia tidak mempunyai mesin pengimbas.

Chik Omar berkata jabatan itu merampas sebuah beg mengandungi 5.3kg dadah bernilai RM1 juta pada 29 Jan semasa ia transit di sini dari Lagos, Nigeria untuk ke Mulu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Kementerian Kewangan memperuntukkan RM20 juta untuk membina sebuah premis perniagaan tiga tingkat untuk peniaga Bumiputera di Miri.

"Peruntukan kewangan itu akan disalurkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan ia akan menjadi mercu tanda baru bagi Bandar Miri," katanya.

Beliau berkata pembinaan itu akan bermula 13 Mac depan dan dijangka siap 12 Mac 2017.

Dadah, Penyeludup

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain