suria

Warga Emas Melecur Selepas Dapur Gas Meletup

Kain batik yang dipakai mangsa Chik Bah hangus terbakar selepas dapur gas di rumahnya meletup. - foto ALLISON LAI/The Star
ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas melecur di bahagian muka, tangan dan anggota badan lain akibat disambar api selepas dapur gas di rumahnya meletup di Taman Kejora, Tebong di sini Isnin.

Pengarah Hospital Melaka Datuk Dr Za'aba Baba berkata mangsa Chik Bah Mohd Amin, 76, mengalami kecederaan dipercayai akibat letupan yang disebabkan oleh kebocoran gas daripada hos dapur gas itu pada pukul 11.30 pagi Isnin.

"Pesakit dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan awal sebelum ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya, pesakit didapati mengalami kesan luka kebakaran antara 16 hingga 18 peratus.

Kes ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi kerana faktor usia pesakit dan dia perlu pemantauan rapi, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sementara itu jiran mangsa Mokhzani Aris Masron, 22, berkata ketika kejadian dia terdengar bunyi letupan yang amat kuat dan terdengar suara meminta tolong dari rumah mangsa.

"Saya terus ke rumah nenek (mangsa) dan melihat dia meminta tolong dari dalam rumah, api tidak marak dan berjaya dipadam, selepas itu saya dan seorang lagi jiran membawa nenek keluar dari rumah sebelum jiran lain telefon ambulan," katanya.
melecur, tong gas, warga emas

Artikel Lain