suria

Banjir: SPRM Terima 80 Panggilan, Satu Aduan Penyelewengan

Kemusnahan yang dialami mangsa banjir dalam bencana yang melanda negara baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir yang beroperasi sejak 12 Januari lepas bagi menyiasat aduan berhubung salah laku dan penyelewengan bantuan banjir, menerima 80 panggilan setakat Ahad.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 65 panggilan yang diterima berbentuk umum berkaitan bantuan banjir.

"Sebanyak 14 panggilan lagi berkaitan ketidakpuasan hati terhadap agensi yang diberi tanggungjawab membantu mangsa banjir.

"Kita juga menerima satu aduan berkaitan wujud unsur salah guna kuasa dan penyelewengan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Pahang," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Sehubungan itu, Mustafar yang juga penyelaras jawatankuasa berkenaan berkata, SPRM telah memulakan siasatan bagi meneliti maklumat yang diterima itu.

Pada 12 Januari lepas, SPRM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Audit Negara memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut bagi memastikan pengurusan dana dan tabung banjir dikendalikan dengan telus dan teratur serta bebas daripada penyelewengan dan salah laku.

Untuk aduan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan jawatankuasa itu di talian 019-2849134, 019-2849234 atau 019-2849389.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain