suria

Terpulang Kepada DAP Hendak Kata Apa - Mustafa

Mustafa Ali.

PETALING JAYA: PAS tidak akan tunduk terhadap sebarang desakan mahupun ugutan daripada sekutu mereka DAP dalam isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang kini sedang berperang mulut dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam isu pilihan raya PBT lebih senang untuk 'mengunci mulutnya' dalam isu berkenaan.

"Terpulanglah kepada DAP hendak kata apa, saya dah tak mau komen apa-apa. Tunggulah mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Ahad ini.

"Saya akan memberikan penjelasan kepada pimpinan tertinggi tentang apa yang berlaku dalam mesyuarat tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Ditanya sama ada beliau akan hadir, Mustafa berkata: "Insya-Allah saya akan hadir dan beri penjelasan panjang lebar."

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai ugutan DAP, yang enggan hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sekiranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menghadirinya, Mustafa enggan mengulas lanjut.

"Itu saya tak mahu komen, apa pun tunggu, Ahad ini. Inysa-Allah presiden juga akan hadir," katanya ringkas.

Pada Selasa, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata Guan Eng tidak perlu meminta maaf kepada Mustafa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan diadakan di ibu pejabat PAS pada pukul 2.30 petang Ahad ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu dipetik sebagai berkata parti itu akan hanya menghadiri mesyuarat tersebut sekiranya PAS memberi jaminan Abdul Hadi akan turut serta dalam mesyuarat berkenaan.

PAS dan DAP terpalit dengan perbalahan berhubung pelaksaan hukum hudud di Kelantan dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

Mustafa Ali, perang mulut, PAS, DAP, PBT, hudud

Artikel Sebelum

Artikel Lain