suria

Kawal Sendiri Perbuatan Ambil Gambar 'Selfie' - Doktor

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Perbuatan mengambil gambar 'selfie' telah menjadi fenomena dunia tetapi terdapat juga pihak yang mengecam perbuatan tersebut.

Pemimpin-pemimpin dunia juga sering melakukannya seketika semasa bermesyuarat, sama ada untuk kenangan atau tujuan publisiti semata-mata.

Bagaimanapun, ketika pertandingan Miss Universe baru-baru ini, Miss Lebanon terpaksa mempertahankan diri terhadap tuduhan bahawa beliau bergaul dengan musuhnya, selepas muncul dengan gambar selfie bersama Miss Israel.

Dalam satu laporan terkini baru-baru ini, seorang ulama Indonesia dikatakan telah mempersoalkan kesucian 'wanita yang mengiklankan gambar selfie mereka yang memalukan.'

Walaupun golongan-golongan tertentu boleh mempunyai pandangan peribadi mereka mengenai selfie, nyata kemungkinan terdapat beberapa kesan psikologi terhadap selfie yang dilihat sebagai satu hobi yang tidak berbahaya ini.

Pada Ogos lalu, seorang warga Britain berusia 19 tahun menerima terapi intensif di hospital selepas disahkan sebagai penagih selfie, dengan mengambil sehingga 200 gambar selfie sehari.

"Ia merupakan teknologi yang disukai oleh kebanyakan orang dan tidak salah untuk orang ramai berhubung dengan teknologi terkini.

"Selfie merakamkan saat-saat manis untuk kenangan yang boleh dilakukan diri sendiri," kata Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Datuk Dr Andrew Mohanraj.

Bagaimanapun, beliau berkata selfie yang berlebihan telah menjadi masalah sejak akhir-akhir ini, terutamanya di kalangan remaja yang asyik mengambil gambar selfie yang sempurna dalam usaha mendapatkan 'penerimaan orang lain' atau supaya posting mereka di Facebook mendapat 'like' yang banyak.

Dr Mohanraj menjelaskan bahawa di sesetengah negara barat, selfie yang berlebihan telah menunjukkan hubungan yang kuat dengan 'personaliti narcissistic' dan juga gangguan imej pada badan yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kurus dan anoreksia.

Dalam beberapa kes anoreksia nervosa, mengambil gambar diri sendiri juga boleh menjadi sebahagian daripada penegasan bahawa seseorang itu adalah kurus, kata beliau.

"Setiap manusia mahukan penerimaan daripada orang lain tetapi itu tidak bermakna kita narcissistic. Narsisisme atau personaliti narcissistic didiagnosis hanya apabila seseorang telah membesar-besarkan harga diri, membesar-besarkan keperluan untuk dirinya diterima orang lain, membesar-besarkan perasaan keunggulan diri dan kekurangan empati untuk orang lain.

"Semua ini boleh membawa kepada beberapa kemerosotan fungsi kerja atau sosial," jelasnya.

Pada Mac tahun lepas, satu berita menjadi viral di internet mendakwa bahawa Persatuan Psikiatri Amerika mengkalisifikasikan 'selfiitis' sebagai gangguan klinikal.

Walaupun cerita itu ternyata palsu, Dr Mohanraj bagaimanapun menasihatkan bahawa sebarang bentuk ketagihan perlu diteliti dan dirawat.

"Jika anda ketagih untuk mengambil selfie dan tidak dapat mengawal keinginan untuk menahan ketagihan ini, maka anda mungkin memerlukan bantuan psikologi, sama seperti orang yang mencari bantuan pakar untuk ketagihan internet," katanya.

Dr Mohanraj menjelaskan bahawa mengambil gambar diri sendiri secara berlebih-lebihan bermaksud tingkah laku yang membawa kepada kemerosotan atau kesusahan untuk berkerja atau bersosial.

Bagi kes kanak-kanak dan gajet, beliau menasihatkan ibu bapa supaya membiasakan diri dengan media sosial dan memantau penggunaan telefon pintar oleh anak-anak sekerap yang mungkin.

"Ibu bapa tidak perlu memberikan telefon pintar untuk kanak-kanak sebagai satu cara untuk menenangkan mereka atau untuk bersaing dengan jiran-jiran mereka yang kaya.

"Mereka juga perlu memberikan galakan kepada anak-anak mereka dan memberikan komen positif apabila anak-anak mereka berkelakuan baik atau mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Ini akan mengurangkan keperluan untuk kanak-kanak melihat tentang diri mereka sendiri dengan komen dan pandangan positif melalui gambar selfie mereka ," katanya.

"Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik dalam penggunaan telefon pintar. Jika ibu bapa tidak bertanggungjawab, mereka tidak boleh mengharapkan anak-anak mereka untuk bertanggungjawab, " katanya.

selfie, Datuk Dr Andrew Mohanraj

Artikel Sebelum

Mat Tarzan Meninggal Dunia

Artikel Lain