suria

Rekod Dunia: Najib Ucap Tahniah Kepada Nicol David

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mengucapkan tahniah kepada ratu skuasy Malaysia, Datuk Nicol David yang mencipta rekod dunia baharu apabila dapat bertahan sebagai pemain nombor satu dunia bagi tempoh paling lama.

"Tahniah kpd ratu skuasy negara Datuk @NicolDavid yg mencipta rekod dunia baru 106 bulan di ranking pertama WSA! #RatuSkuasy #QueenofSquash," katanya dalam Twitter beliau.

Nicol, 31, mencipta rekod dunia baharu apabila dapat bertahan selama 106 bulan sebagai pemain nombor satu dunia dalam senarai terbaharu Persatuan Skuasy Wanita (WSA).

Pemain dari Pulau Pinang itu muncul sebagai pemain nombor satu dunia sejak Januari 2006, mengatasi rekod 105 bulan yang dicipta Susan Devoy dari New Zealand yang dipegangnya sejak Februari 1993.

Devoy merupakan bekas juara dunia empat kali dan juara terbuka British lapan kali.Menurut laman web www.squashsite.co.uk, Nicol memungut 3,446 mata, manakala pemain Mesir, Raneem El Welily selaku pemain nombor dua dunia, mengumpul 2,580 mata diikuti pemain dari England, Laura Massaro dengan 2,145 mata.

Rekod itu diumum pada kejohanan JP Morgan Tournament of Champions di New York bulan lepas, yang menyaksikan pengerusi kejohanan John Nimick dan pengarah Beth Rasin menyerahkan poster yang ditandatangani kesemua pemain dunia lain kepada Nicol.


Nicol David, WSA, skuasy

Artikel Lain