suria

Berebut Anak, Jurutera Didenda Cederakan Bekas Isteri

PETALING JAYA: Seorang jurutera yang mencederakan bekas isterinya untuk menghalang tindakan bekas isterinya itu daripada mengambil anak angkat mereka dari rumahnya didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Zalizan Mohamed Nor @ Kamaruzaman, 40, mengaku di mahkamah majistret di sini bahawa dia telah menyebabkan kecederaan kepada bekas isterinya Hamidah Abd Latip, 40, tahun lepas.

Dia mengaku bersalah menarik tangan kanan dan menolak badan wanita itu di sebuah rumah di Kampung Sri Puchong, Puchong pada pukul 1.30 tengahari, 27 November tahun lepas.

Hamidah dari Taman Sri Keramat telah membuat laporan polis terhadap bekas suaminya pada hari yang sama.

Pada Isnin, Zalizan mengaku di dalam penyata fakta yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat bahawa dia telah menarik tangan bekas isterinya itu dan menolak badan Hamidah untuk menghalangnya daripada mengambil anak angkat mereka dan memaksanya meninggalkan tempat itu.

Saphirra memberitahu mahkamah bahawa Hamidah mengalami kecederaan pada tangannya kerana kejadian hari itu.

Merayu hukuman diringankan, peguamnya Datuk Suraj Singh berkata anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan berjanji dia tidak akan melakukan kesalahan yang sama.

"Mereka mempunyai masalah peribadi. Dia kesal dengan tindakannya," kata Suraj, sambil menambah anak guamnya mempunyai tiga anak untuk dijaga.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara.

Dia membayar denda pada tengah hari dan kemudian meninggalkan bangunan mahkamah.

Artikel Lain