suria

Kementerian Kesihatan Cadang Beli Aset Hadapi Banjir Besar

Dr S.Subramaniam (tengah) melihat mesin rawatan pergigian yang rosak akibat banjir besar ketika melawat Klinik Kesihatan Temerloh di sini, Ahad. Klinik Kesihatan Temerloh yang terletak di tepi Sungai Pahang dilanda banjir besar hingga paras dada menyebabkan banyak mesin perubatan dan rekod kesihatan musnah.

TEMERLOH: Kementerian Kesihatan bercadang membeli aset  untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat diberikan walaupun ketika menghadapi bencana seperti banjir besar baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, aset itu termasuk mempunyai kemudahan perkhidmatan helikopter sendiri dan bot untuk hospital dan klinik kesihatan yang mudah dinaiki air.

Beliau berkata ini kerana aset seperti bot dan helikopter yang dimiliki  agensi lain terpaksa dikongsi oleh pelbagai pihak semasa banjir memuncak menyebabkan perkhidmatan kesihatan tidak dapat dilaksanakan atau terjejas semasa bencana banjir baru-baru ini.

"Saya tidak boleh salahkan mana-mana pihak jika mereka tidak dapat membantu kerana bukan klinik dan hospital sahaja memerlukan bantuan kerana mereka juga perlu selamatkan orang terperangkap di rumah, atas bumbung dan di kampung.

"Jadi apabila kemudahan yang ada perlu diagihkan kepada sebegitu banyak keperluan, sudah tentu ia tidak dapat memenuhi permintaan kami serta-merta," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini, Ahad.

Subramaniam berkata, situasi berkenaan terjadi di Kelantan sewaktu banjir teruk pada 25 dan 26 Disember lepas yang telah menjejaskan perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan hanya dapat diberikan apabila jabatan kesihatan menyewa sendiri bot untuk membawa dan merawat pesakit.

"Kami tidak boleh kata perkhidmatan kita dihentikan sementara kerana banjir, kerana orang sakit tidak tentu masa dan dalam masa yang sama kita juga perlu terus merawat.

"Jadi mungkin pada masa akan datang kami akan mempunyai perkhidmatan udara sepertimana yang dilakukan di pedalaman Sabah dan Sarawak yang menggunakan pesawat Sabah Air Aviation," katanya.

Beliau berkata cadangan itu akan dibincangkan lebih lanjut dalam 'post mortem' banjir peringkat kementerian yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, katanya jumlah kerugian melibatkan kerosakan bangunan, peralatan dan aset di bawah Kementerian Kesihatan di negeri terjejas banjir dianggar antara RM500 juta hingga RM900 juta.

Setakat ini, katanya sebanyak 124 klinik kesihatan, klinik desa, klinik 1Malaysia terjejas dengan banjir menyebabkan banyak aset perubatan rosak dan tidak dapat digunakan iaitu 54 buah di Kelantan, Pahang (44), Perak (18) dan Terengganu (lapan).

Beliau berkata, jumlah itu dijangka meningkat berikutan masih ada beberapa kawasan di negeri berkenaan masih dilanda banjir.

Sumbramaniam turut merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan di bawah kementeriannya yang banyak berkorban tenaga menyelamatkan nyawa dan memberi perkhidmatan kesihatan tanpa henti walaupun mereka sendiri menjadi mangsa banjir.

Kementerian Kesihatan, aset, banjir

Artikel Lain