suria

Enam Sekolah Di Kelantan Masih Ditutup Akibat Banjir

KEMBALI KE SEKOLAH... Dua pasang kembar seiras (dari kiri) Puteri Rania Syakira Bukhari, Hani Qistina Mohd Hazri Zaini, Puteri Rania Syakirin Bukhari dan Hani Qaisara Mohd Hazri Zain berjalan bersama semasa waktu rehat pada hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Convent Alor Setar, Kedah pada Ahad. - fotoBERNAMA
TUMPAT: Sebanyak enam sekolah di Kelantan tidak dapat dibuka pada sesi persekolahan tahun ini, yang bermula pada Ahad, kerana masih terjejas akibat banjir bulan lepas.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata status sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dabong, SK Kemubu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang terletak dalam jajahan Kuala Krai serta SK Tohoi, SK Pasir Tumboh dan SK Balar di jajahan Gua Musang, akan disemak setiap hari.

"Kita akan buat semakan setiap hari dan tengok laporan, sekolah akan dibuka secepat mungkin tetapi bergantung kepada proses pembersihan lumpur di sekolah terbabit," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut (SMKKL) di sini, Ahad.

Idris berkata pihaknya juga menjangkakan peralatan seperti kerusi dan meja dapat dihantar ke sekolah yang terbabit bencana banjir dalam tempoh seminggu, sementara buku teks akan dihantar bulan ini kerana ia perlu dicetak terlebih dahulu.

Sesi persekolahan tahun ini di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor bermula Ahad, manakala bagi negeri-negeri lain bermula Isnin.

Idris juga turut menyarankan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) membantu kerajaan membina rumah untuk mangsa banjir yang kediaman hilang atau rosak teruk akibat bencana itu.

"Kalau ada 20 IPT dan satu IPT boleh bina 20 buah rumah sudah jadi 400 buah rumah, jangan tunggu semuanya dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Di Kelantan, sebanyak 2,677 rumah musnah sepenuhnya akibat banjir yang melanda negeri itu pada bulan lepas.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Hussain Awang.

Idris Jusoh, sekolah, Kelantan

Artikel Lain