suria

Pasport Alvin, Ali Ditarik Serta Merta - KP Imigresen

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen telah membatalkan pasport blogger seks Alvin Tan dan aktivis Ali Abd Jalil yang kedua-duanya telah mencari perlindungan di luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, langkah itu perlu dibuat sebagai amaran kepada individu yang menghina mahkamah, pemerintah dan Islam.

"Kami juga telah menyenarai hitamkan nama mereka daripada sistem dan memaklumkan mereka melalui surat rasmi yang akan dihantar ke alamat mereka di Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Mustafa bagaimanapun berkata, pembatalan pasport Tan dan Ali tidak bermakna mereka telah dilucutkan kewarganegaraan mereka. 

Beliau berkata kedua-dua masih boleh kembali ke Malaysia, tetapi dengan dokumen yang berbeza.

"Mereka perlu memohon perakuan kecemasan di negara masing-masing untuk kembali," katanya.

Alvin Tan atau nama sebenarnya, Tan Jye Yee melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Pada 18 Julai 2013, Tan dan teman wanitanya, Vivian Lee, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan di laman Facebook.

Susulan itu, pada 22 Ogos lepas, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap selepas Tan gagal hadir bagi sebutan kesnya.

Tan baru-baru ini dipercayai memuat naik kenyataan yang mempersendakan institusi beraja melalui Facebooknya yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran daripada mana-mana pihak.

Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.

Mustafa berkata sekiranya Tan dan Ali yang kini berada di luar negara ingin pulang ke Malaysia, mereka perlu mendapatkan Sijil Perakuan Cemas (EC) di kedutaan Malaysia agar boleh kembali ke Malaysia secara sah.

EC adalah untuk sekali perjalanan serta perlu diserah balik, katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa memiliki PMA bukanlah suatu hak, sebaliknya hanya satu keistimewaan yang diberi kepada warganegara Malaysia untuk membolehkan mereka melakukan perjalanan ke luar negara.

"Pasport bukan diberi kepada semua orang sebaliknya ia hanya satu keistimewaan membolehkan rakyat Malaysia ke luar negara.

"Tertera dalam pasport bahawa pasport adalah hak milik kerajaan Malaysia dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa," katanya.

Mustafa berkata, tanpa PMA, Tan dan Ali boleh dianggap pendatang asing tanpa izin, namun terpulang kepada negara berkenaan untuk mentakrifkan mereka.

"Mereka boleh ditahan di luar negara sebagai pendatang asing tanpa izin dan boleh dihantar balik ke Malaysia. Kami akan menerima mereka sebagai rakyat Malaysia kerana warganegara mereka tidak gugur," katanya.

Mustafa berkata, Tan dan Ali boleh membuat rayuan berhubung penarikan balik pasport antarabangsa mereka dan akan dipertimbangkan mengikut kes.

"Kalau mereka layak, kami boleh beri (balik pasport). Kalau mereka tidak layak dan disenaraihitamkan, kami akan nyatakan," katanya.


Alvin Tan, blogger, pasport

Artikel Lain