suria

Majlis Peguam Kekal Ketetapan Larang Bekas Hakim

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia (MPM) pada Jumaat  mengekalkan pendiriannya yang melarang bekas hakim untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka seperti dinyatakan dalam resolusi badan itu 15 Mac lepas.


Presidennya, Christopher Leong berkata, walaupun terdapat kebimbangan badan itu dalam isu ini, yang telah dinyatakan di mahkamah, namun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pada masa ini tidak ada apa-apa dalam undang-undang yang melarang hakim bersara daripada muncul sebagai peguam di mahkamah.

"Majlis juga menyatakan isu-isu baru-baru ini atau kontroversi membabitkan kepatutan atau pelantikan dan kemunculan ketua pasukan pendakwa dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sekali lagi, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tidak ada yang tidak tepat dalam dalam hal ini," katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam Khamis.

Beliau berkata: "Walaupun atas sebab-sebab yang berbeza, isu bersama dan kebimbangan Majlis Peguam berkaitan kedua-dua pelantikan dan kemunculan pendakwa utama dan peguam utama (bekas hakim) bagi Anwar dalam rayuan itu keadilan mungkin tidak dapat dilakukan atau mungkin dilihat tidak dilaksanakan."

Bagaimanapun, Leong berkata, Majlis Peguam tidak akan mengulas lanjut kerana pendengarwn kes rayuan masih berjalan di Mahkamah Persekutuan.

Mesyuarat 15 Mac badan itu menerima usul bahawa hakim bersara dari mahkamah yang lebih tinggi perlu dilarang atau dihalang dari segi undang-undang untuk bertindak sebagai peguam di mahkamah.

Pada Khamis, ketua pasukan pendakwaan dalam kes rayuan Anwar, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita bahawa tiada sesiapa boleh menghalang bekas hakim bertindak sebagai peguam dan ia adalah pilihan mereka untuk berbuat demikian.

Pada 3 Julai, 2013, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata hakim-hakim bersara bebas untuk muncul di mahkamah mewakili anak guam mereka dan tidak kira siapa yang muncul di mahkamah, pihak kehakiman akan menentukan kes berasaskan merit.

Beliau menegaskan bahawa badan kehakiman tidak boleh menghalang bekas hakim daripada menjalankan tugas guaman dan tidak harus menyekat hak mereka untuk berbuat demikian.

Kontroversi timbul selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan dalam kes rayuan Anwar terhadap sabitan kes liwat.

Anwar, selaku Ketua Pembangkang, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun, 2008.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, 67, atas kesalahan tersebut.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar di akhir kes pembelaan.

Mahkamah Persekutuan sedang mendengar rayuan itu sejak Selasa lepas.


Artikel Lain