suria

Umno Tuaran Cadang Kuat Kuasa ISA Semula

TUARAN: Umno Bahagian Tuaran mencadangkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikuatkuasakan semula bagi menangani sebarang kenyataan dan perbuatan berbaur hasutan oleh segelintir pihak di negara ini.


Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Noor berkata, ini berikutan pelbagai insiden dan isu yang melanda, terutama usaha membawa Sabah keluar dari Malaysia selain akta itu masih digunakan di beberapa negara lain termasuk Singapura.

"Tetapi gunakan akta ini untuk mereka yang benar-benar diyakini boleh mengancam keselamatan negara terutama pihak pelampau, pengganas dan mereka yang mempunyai niat serta tujuan untuk memporak-perandakan keharmonian pelbagai kaum di negara ini," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tuaran, yang dirasmikan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hajiji yang juga Menteri Kerajan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata Umno Bahagian itu mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang menggugat serta mengancam keselamatan melalui perhimpunan, ucapan atau media sosial seperti membuat fitnah, menghasut termasuk menghina agama dan institusi diraja.

Dalam pada itu, Hajiji mencadangkan kerajaan pusat menyediakan peruntukan tambahan bagi membantu kira-kira 12,000 peniaga kecil dan penjaja yang berdaftar di Sabah.

"Sebagai contoh, pinjaman yang diluluskan untuk negeri Sabah bagi membantu mereka berniaga pada bulan Ramadan hanya RM1.55 juta daripada RM4.5 juta dan hanya 847 orang sahaja yang berjaya menerima bantuan berbentuk pinjaman itu," katanya.

Beliau turut memohon Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempertimbangkan pembinaan 33 unit rumah untuk nelayan di Kampung Nelayan Mengkabong di Tuaran yang berada dalam keadaan uzur.



Umno Tuaran, ISA

Artikel Berikut

Artikel Lain