suria

UMNO Perlu Depani Masalah Rakyat Untuk Kekal Relevan - Muhyiddin

Muhyiddin dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) bersama ahli Umno yang menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Batu menyanyikan lagu Umno semasa hadir merasmikan mesyuarat tersebut di sini, Ahad.
KUALA LUMPUR: Umno perlu mencari pendekatan dan cara terbaik dalam mendepani masalah rakyat, termasuk golongan muda, untuk memastikan parti itu kekal relevan dan kukuh sebelum pilihan raya umum akan datang.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerelevanan Umno turut bergantung kepada sokongan generasi muda lebih-lebih lagi dengan lebih tiga juta anak muda bakal menjadi pengundi menjelang tahun 2018 itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, generasi muda perlu didampingi seawal mungkin, malah sebelum mereka mereka layak menjadi pengundi lagi kerana pengaruh mereka yang amat besar pada zaman ini.

Katanya, Umno tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan atau cara lama, sebaliknya perlu merangka tindakan yang tepat dan berkesan selain memastikan proses 'mendampingi' rakyat sentiasa dilakukan.

"Jangan tunggu dekat pilihan raya baru hendak cari jalan," tegasnya yang menyifatkan parti itu kini mengharungi zaman sukar berikutan perubahan sosio-budaya dan politik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Batu, di sini, Ahad.

Muhyiddin berkata, sekiranya kepimpinan parti tidak sedar atau tidak mengambil pendekatan wajar untuk memperakui perubahan minda rakyat, Umno akan menjadi parti yang jumud.

"Psikologi semasa kita berhadapan dengan zaman sukar mesti berbeza daripada semasa kita berdepan zaman senang, lebih-lebih lagi kita hendak pertahankan kuasa politik kita, dan persoalan ini kritikal dan perlu diselesaikan sebelum 2018," katanya.

Justeru katanya, Umno di seluruh peringkat harus berusaha lebih kuat dengan turun ke akar umbi untuk memahami dan mengetahui masalah mereka.

Umno juga memerlukan idea-idea luar biasa atau 'faktor wow' untuk meraih kembali sokongan majoriti rakyat, katanya. 


Umno, Timbalan Presiden, relevan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain