suria

Penjaja Disenarai Hitam Jika Gagal Bayar Balik Pinjaman Bazar Ramadan

Ahmad Bashah ketika melakukan tinjauan di bazar Ramadan pada bulan puasa lalu. Gambar Hiasan
ALOR SETAR: Nama peminjam Skim Pembiayaan Mikro-I Bazar Ramadan 2014 akan disenarai hitam sekiranya mereka gagal untuk membayar semula pinjaman itu dalam tempoh dua bulan.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ini kerana tempoh dua bulan itu termaktub dalam perjanjian ketika mereka melakukan pinjaman di Bank Rakyat.

Beliau berkata, setakat ini Bank Rakyat menerima balik pinjaman daripada penjaja lebih RM4 juta daripada jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sebanyak RM30 juta.

Katanya, pihaknya akan meminta bantuan daripada persatuan penjaja untuk membantu kerajaan dengan menasihatkan penjaja supaya membuat pembayaran balik bagi membolehkan mereka membuat pinjaman semula selepas ini.

"Kita tidak mahu mereka dikenakan tindakan undang-undang selepas ini dan kita minta mereka bayar balik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Khas Gotong-royong Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung peringkat negeri di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata di sini, Ahad.

Jun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan 2014 bagi membantu penjaja dan peniaga kecil berniaga juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan.

Skim berkenaan adalah platform yang disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kepada penjaja dan peniaga kecil untuk menambah sumber pendapatan pada bulan Ramadan.

Skim tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah berlandaskan Syariah sehingga RM3,000 untuk dijadikan modal perniagaan.

Ia perlu dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh dua bulan iaitu 50 peratus bayaran sebelum tamat bulan Syawal (31 Ogos) manakala bakinya sebulan selepas Syawal (30 September).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain