suria

Bom Peninggalan Perang Dunia Kedua Dimusnah Pada Isnin

Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Usaha memusnahkan sebutir bom lama yang ditemui di kawasan hutan di Bukit Cheras Awana, Batu 9, Cheras semalam, akan dilakukan pagi Isnin.

Bom itu dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua dan usaha memusnahkannya akan dilakukan sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB).

Pegawai Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ASP Abdul Hadi Abd Rasip berkata sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar menghentikan sebarang aktiviti rekreasi seperti memanjat bukit di kawasan Bukit Cheras Awana dan sekitarnya, bermula esok hingga Selasa.

"Bertindak atas maklumat awam, sepasukan UPB dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah melaksanakan operasi menjejaki bom itu hari ini dan menemui sebutir bom lama, bagaimanapun setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada ia masih aktif ataupun tidak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hadi berkata bom lama itu, dianggar seberat hampir 500 paun, dijumpai orang awam dalam kawasan hutan di sini pada kira-kira 7 malam, semalam (Sabtu).

"Setakat hari ini, kita tidak dapat melaksanakan operasi memusnah bom berkenaan berikutan UPB menghadapi masalah membawa masuk peralatan mereka kerana keadaan kawasan itu yang berbukit dan hutan tebal," katanya.
Bom Perang Dunia Kedua

Artikel Lain