suria

Pengerusi PIBG Mengaku Tak Bersalah Terbabit Rasuah

ALOR SETAR: Seorang pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di Pendang, pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, Noor Fazli Osman, 49, didakwa meminta suapan RM1,800 daripada seorang individu di No. 85, Taman Cengkih, Jalan Tokai, Simpang Empat dekat sini pada 10 pagi, 6 Jun 2013.

Suapan itu sebagai dorongan bagi membolehkan individu berkenaan melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di sekolah menengah itu.

Bagi pertuduhan kedua, Noor Fazli didakwa menerima suapan RM1,800 daripada individu sama di Balai Polis Simpang Empat Kangkong, dekat sini pada 2.10 petang, 19 Jun 2013, bagi tujuan sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ibrahim Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan itu dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Okt untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, Noor Fazli yang juga seorang penoreh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia mempunyai tanggungan anak serta isteri yang menghidap lelah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Syahrul Khuzaimi Amiruddin.


PIBG, Pendang, Taman Chengkih

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain