suria

Masa Untuk Teruskan Kehidupan

Kehidupan perlu diteruskan, namun orang tersayang tetap abadi dalam ingatan.
PETALING JAYA: Hari perkabungan negara telah berlalu dan, sebagai sebuah negara, Malaysia perlu bergerak ke hadapan serta membantu mereka yang kehilangan orang tersayang melakukan perkara yang sama.

Timbalan Pengerusi Pasukan Intervensi Krisis Malaysia Dr Abdul Jalil Hassan berkata, negara dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi udara baru-baru ini mesti meneruskan kehidupan masing-masing.

Sambil menyifatkan mangsa MH17 sebagai "duta perpaduan dan keamanan", beliau berkata istiadat penghormatan 20 jenazah yang pulang pada Jumaat dapat membantu keluarga yang terlibat.

Pasukan intervensi telah memberi sokongan psikologi berterusan untuk anggota keluarga di atas pesawat MH370 dan MH17.

Beliau berkata hari perkabungan negara mengakui pengorbanan mereka yang terkorban.

"Orang ramai telah menerimanya sebagai satu tragedi. Masa akan membantu proses penyembuhan tetapi kita mesti memberi ruang kepada keluarga untuk bersedih," katanya.

"Menangis dan bersedih tidak mengapa, tetapi kita perlu meneruskan hidup.

"Soalan-soalan seperti siapa yang akan membayar bil atau apa yang akan berlaku kepada anak-anak yang dibesarkan seorang ibu tunggal, akan menyebabkan tekanan.

"Kawan boleh membantu dengan sukarela, bertanya kepada mereka apa yang mereka perlukan dan bagaimana anda boleh membantu.

"Jangan bertanya kepada mereka tentang masa lalu kerana ia boleh mencetuskan trauma," katanya.

Beliau menasihatkan keluarga mangsa supaya tidak terlalu banyak berfikir tentang masalah sebaliknya menanganinya satu demi satu.

Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikkhism dan Taoisme (MCCBCHST) Jagir Singh mengingatkan orang ramai supaya kembali kepada agama masing-masing bagi mencari kekuatan.

"Kita mesti menerima dan bergerak ke hadapan. Beralih kepada kepercayaan anda dan bercakaplah dengan orang-orang yang kuat agama.

"Berdoalah untuk mengatasi kesedihan anda," katanya. 

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohamad Khalil Jamaldin menggesa mereka yang tidak mampu menguruskan kewangan mereka, terutamanya selepas kehilangan pencari nafkah keluarga, supaya menghubungi agensi.

Beliau berkata, tanggapan bahawa mereka yang mendekati agensi berada dalam masalah kewangan, adalah salah.

Agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara itu membantu individu mengawal keadaan kewangan mereka dengan menawarkan perkhidmatan percuma seperti pengurusan kewangan, pendidikan, kaunseling, pengurusan hutang dan menggunakan wang dengan bertanggungjawab.

"Tidak perlu untuk temu janji, hanya datang dan bercakap dengan kaunselor kewangan kami," beliau memberi jaminan.
MH17, mangsa, waris

Artikel Lain