suria

MH17: Keluarga Reda Jenazah Nur Shazana Dikebumi Di Putrajaya

Mohamed Salleh Samsudin dan isteri, Sharom Ibrahim ditemuramah oleh para media di majlis tahlil anaknya, Nur Shazana Mohamed Salleh yang diadakan bersama Wanita Umno negeri di kediamannya pada Jumaat. Foto: BERNAMA

GEORGE TOWN: Keluarga Nur Shazana Mohamed Salleh, 31, pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine bulan lepas reda jika jenazahnya dikebumi di tanah perkuburanPutrajaya.

Bapanya, Mohamed Salleh Samsuddin, 54, berkata mereka sekeluarga telah punberbincang dan bersedia jika jenazah Nur Shazana turut dikebumi bersama-sama mangsa lain di Putrajaya.

"Sebelum ini saya tidak bersetuju jenazah anak saya dikebumikan di Putrajaya memandangkan ramai saudara-mara di sini. 

"Tetapi selepas berbincang, kami (mengambil pendirian) terbuka berhubung perkara itu dan ia merupakan satu penghormatan,"kata Mohamed Salleh pada majlis tahlil dan bacaan Yasin anjuran Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang dikediamannya di Bukit Gedung pada Jumaat.  

Nur Shazana adalah antara 15 anak kapal pesawat MH17 yang membawa 280 penumpang ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.

Pesawat berkenaan, yang dalam penjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur,dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya bercadang mengebumikan mangsa nahas MH17 di Putrajaya, bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada kebenaran daripada keluarga dan waris mangsa terbabit.

Dalam pada itu, Mohamed Salleh berkata mayat Nur Shazana sudah dikenal pastidan keluarganya kini berada dalam keadaan siap sedia untuk berlepas ke Amsterdam pada bila-bila masa bagi mengiringi kepulangan jenazah Allahyarham ke tanah air.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu bila jenazah Nur Shazana akan dibawa pulang dan pihak MAS sering menghubunginya untuk memaklumkan perkembangan semasa.

"Dalam sehari tu, pihak MAS call dua tiga kali untuk kemas kini. MAS banyak memberi bantuan bukan sahaja bantuan tenaga malah kaunseling serta menjaga kebajikan kami. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MAS," katanya.

Mohamed Salleh turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas usaha beliau membawa pulang kesemua jenazah mangsa nahas MH17.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan dan mengembalikan keyakinan rakyat serta masyarakat luar terhadap Malaysia.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Pulau Pinang Norliza Abdul Rahim berkata pihaknya turut bersedih dan bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga NurShazana.

"Insya-Allah, Allah tempatkan beliau bersama roh orang beriman. Itu harapan kami. 

"Kami sentiasa mendoakan agar jenazah segera kembali ke tanah air dan disemadikan dengan aman," katanya.

MH17, Nur Shazana

Artikel Lain