suria

MH17: KKLW Buat Persediaan Urus, Kebumi Jenazah Mangsa

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) buat persiapan rapi bagi penyelarasan penghantaran dan pengebumian jenazah mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ke negeri masing-masing.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata persiapan itu termasuk penyediaan kenderaan dan keperluan lain bagi memastikan kelancaran proses penghantaran dan pengebumian jenazah sebaik istiadat penghormatan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijadual 22 Ogos ini, selesai.

"Kita telah adakan mesyuarat dengan wakil-wakil kerajan negeri, apabila selesai urusan (istiadat penghormatan), jenazah akan diterbangkan dengan pesawat Charlie ke Kuching dan Bintulu, manakala sebuah pesawat Nuri akan membuat penghantaran jenazah ke Teluk Intan, Perak dan Pagoh, Johor.

"Di Lembah Klang kita uruskan dengan kenderaan untuk pengebumian di Mont Kiara dan Tanah Perkuburan Melayu Ampang. Semua persediaan kita uruskan sebaik mungkin dan berharap akan berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini, Jumaat.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos (Jumaat) sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan 16 jenazah mangsa MH17 tragedi itu termasuk seorang bukan warga negara Malaysia.

Sembilan daripada 15 jenazah warga Malaysia itu bukan beragama Islam.

Sementara itu mengulas urusan penerangan kepada waris mangsa mengenai istiadat penghormatan tersebut, Shafie berkata urusan itu dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Alhamdulillah...(Menteri berkenaan) Datuk Seri Rohani (Datuk Seri Rohani Abdul Karim) telah berhubung secara dekat dengan semua waris terlibat dan menerangkan mengapa istiadat itu perlu dilakukan...mereka menerima dengan terbuka," katanya.

Dalam pada itu di majlis yang sama, Risda turut menyampaikan sumbangan bernilai RM44,710 kepada wakil Aman Palestin untuk membantu penduduk Palestin di Gaza yang dizalimi rejim Zionis.

Risda turut menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian Kelantan.

MH17, MAS, KKLW

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain