suria

Bekas Exco Teng Dakwa Khalid Mahu Adakan Pilihan Raya November Ini

Bekas Exco Selangor, Teng Chang Khim.

SHAH ALAM: Bekas anggota Exco dari DAP, Datuk Teng Chang Khim mendakwa yang Menteri Besar Selangor,Tan Sri Khalid Ibrahim berhasrat untuk mengadakan pilihan raya negeri pada November ini.

Teng memetik sumber-sumber dalaman sebagai memberitahunya yang Khalid memang berhasrat mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri pada November ini.

"Sesetengah orang suka berpegang kepada kuasa selama mana yang dia boleh," ujar Teng.

Katanya, cara terbaik untuk menyelesaikan masalah kepimpinan negeri Selangor ialah dengan memanggil sidang tergembar Dewan Undangan Negeri untuk menentukan tentang kerusi menteri besar.

"Saya tidak mahu membuang masa saya dengan membawa krisis ini ke mahkamah," katanya dalam satu sidang akhbar pada Khamis.

Sementara itu, Teng sudah mula mengemaskan bilik pejabatnya di aras tiga bangunan kerajaan negeri di sini.

Beliau juga telah memulangkan semula kereta rasminya kepada sekretariat kerajaan negeri.

Kesemua exco yang dipecat oleh Khalid diberi masa seminggu untuk mengosongkan pejabat masing-masing.

Teng, yang merupakan ahli Dewan Undangan Sungai Pinang sekali lagi menegaskan yang pendirian rasmi DAP dan PKR tidak akan berubah iaitu Khalid harus mengosongkan kerusinya bagi membolehkan Pakatan Rakyat mengemukakan calon menteri besar mereka.

Artikel Berikut

Artikel Lain