suria

Rakyat Sokong Caj VEP Terhadap Kenderaan Singapura

JOHOR BAHARU: Rata-rata pihak menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju mengenakan bayaran Permit Kenderaan Asing (VEP) terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Johor.

Bagaimanapun, mereka mahu agar kadar caj yang dikenakan perlulah berpatutan dengan faedah yang bakal dinikmati rakyat.

Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim berkata, caj yang dicadangkan iaitu RM20 perlu dikaji semula agar lebih relevan dan berpatutan dengan kadar mata wang Singapura yang lebih tinggi.

"Singapura mengenakan caj RM90 terhadap kenderaan Malaysia yang masuk ke negara itu. Hakikat, barangan di Malaysia lebih murah dan banyak subsidi yang dinikmati secara langsung atau tidak langsung oleh warga Singapura," katanya katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Selain itu, katanya bahagian yang diperoleh kerajaan negeri juga perlu dipastikan memandangkan terdapat banyak kos khususnya dari segi infrastruktur dan penyelenggaraan dengan kemasukan kereta asing ke negeri itu.

"Pelaksanaannya juga perlu segera. Kerajaan Pusat perlu beri gambaran jelas kepada rakyat bila akan dilaksanakan. Kami khuatir perkara ini akan dilihat sepi dan tiada khabar berita sehingga berbulan-bulan," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata kerajaan seharusnya sudah lama melaksanakan caj kemasukan itu memandangkan kemudahan jalan raya telah lama dinikmati mereka tanpa apa-apa bayaran sedangkan kenderaan Malaysia membayar cukai jalan dan sebagainya di Rebublik berkenaan.

Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata kajian impak ekonomi dan sosial perlu dijalankan kepada rakyat negara ini, yang ramai bekerja di Singapura serta menggunakan kenderaan negara berkenaan tetapi tinggal di Johor.

Bagi mereka yang bekerja di Singapura dan menggunakan kenderaan negara itu, sudah pasti terjejas dengan pelaksanaan VEP. Ia sekali gus akan meningkatkan perbelanjaan mereka dan sebagai kerajaan berhemah, perkara ini, perlu diberikan keutamaan," katanya.

Nur Jazlan berkata pelbagai langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan bahawa kenderaan asing yang memasuki negara ini, digunakan rakyat asing bukan rakyat tempatan.

"Antara kaedah yang boleh difikirkan termasuk mengenakan VEP ketika pemeriksaaan imigresen apabila pemandu berkenaan memberikan pasport mereka. Ketika ini, kita akan mengetahui bahawa mereka yang memandu itu, rakyat asing atau tempatan," kata beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya VEP turut diperkenalkan di semua negeri bersempadan dan mempunyai pintu masuk darat ke Malaysia seperti Kedah, Perlis, Kelantan serta Sarawak.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata caj VEP yang dicadangkan akan mempunyai kesan minimum terhadap kemasukan kenderaan rakyat Singapura yang memasuki bandar raya ini melalui Tambak Johor dan Link Kedua.

Beliau berkata kedatangan pelancong dari Republik berkenaan tidak akan berkurangan hanya kerana caj kemasukan memandangkan rakyat Singapura akan terus berkunjung ke Malaysia untuk menikmati makanan dan produk yang lebih murah.

Beliau berkata walaupun bayaran RM20 dicadangkan, ia adalah hanya sekitar S$7.50 untuk rakyat Singapura.


Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Lain