suria

Laporan Awal MH370 'Tiada Apa-Apa Menarik' - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR: Hasil laporan awal kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dijangka dikeluarkan minggu depan dan hanya mengandungi data awal dan tiada "apa-apa menarik", kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, laporan itu telah diserahkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), seperti disyaratkan oleh ICAO.

"...tetapi bagaimanapun saya tidak fikir ada apa-apa yang menarik akan didedahkan dalam laporan itu kerana ia hanya tentang data awal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat.

Hishammuddin berkata, laporan kepentingan awam seperti itu perlu dikeluarkan selagi ia tidak menjejaskan penyiasatan serta emosi anggota keluarga 239 penumpang pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang sejak 8 Mac.

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara sedang giat dilakukan di selatan Lautan Hindi di kawasan perairan Perth, Australia.

Artikel Lain