suria

Kastam Perak Rampas Barangan Seludup Lebih RM1 Juta

Mohd Nasir menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Taiping.

LUMUT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis barangan bernilai lebih RM1 juta membabitkan cukai kira-kira RM1.13 juta dalam lima kes berasingan di beberapa daerah sekitar negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Said berkata rampasan itu melibatkan rokok putih, diesel, mercun dan bunga api.

Beliau berkata, rampasan diesel sebanyak 37,500 liter yang bernilai RM114,375 dilakukan berikutan penahanan sebuah bot kayu dan kapal tunda berhampiran Pengkalan Marin Kastam Lumut, Sitiawan pada pukul 2.45 petang, Isnin.

"Dua individu, masing-masing rakyat tempatan dan asing berusia sekitar 60-an dan 40-an ditahan di pangkalan berkenaan untuk siasatan dan kemudian dilepaskan sementara menurut Seksyen 116 Akta Kastam 1967," katanya kepada pemberita di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan, di sini, Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata sebanyak 500,000 batang rokok putih pelbagai jenama yang bernilai RM288,750 dirampas berikutan penahanan sebuah van di Jalan Merbuk, Teluk Intan pada hari yang sama.

Beliau berkata, dalam kes yang berasingan di Taiping, Kastam Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu berjaya merampas mercun dan bunga api di sebuah premis tidak berpenghuni pada pukul 6 petang.

Katanya, terdapat sebanyak 10 kontena yang terletak di kawasan premis berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada kontena tersebut mengandungi 327 karton mercun dan bunga api yang bernilai RM88,935.

Beliau berkata, serbuan juga dilakukan di sebuah stor tidak berpenghuni di kawasan perindustrian Taiping dan hasil pemeriksaan menemui 1,623 karton mercun dan bunga api pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM1,260,600.

Mohd Nasir berkata, pihaknya juga berjaya merampas rokok putih serta mercun dan bunga api pelbagai jenama di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taiping pada pukul 10.40 malam.

"Sebanyak 550,000 batang rokok putih yang bernilai RM317,625 dan 200 karton mercun dan bunga api dengan nilai RM74,250 berjaya dirampas," katanya yang menjelaskan tiada sebarang tangkapan dibuat bagi kes di Teluk Intan dan kesemua kes di Taiping.

Semua kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang rampasan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 


Artikel Sebelum

Artikel Lain