suria

Majlis Peguam Mengiyakan Perbuatan Anwar - Razali

Datuk Razali Ibrahim
MUAR: Majlis Peguam secara tidak langsung telah mengiyakan perlakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat bekas pembantu peribadinya apabila mempersoal mengapa hanya Anwar dikenakan hukuman oleh mahkamah sedangkan mangsanya (Mohd Saiful Bukhari Azlan) tidak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata tindakan Majlis Peguam menyifatkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan ke atas Anwar sebagai tidak wajar, kerana ia berlaku secara suka sama suka, telah mengiyakan perlakuan sumbang itu benar-benar berlaku.

"Orang tidak sedar Majlis Peguam mempersoalkan mengapa hanya Anwar dikenakan hukuman sedangkan mangsanya tidak dikenakan hukuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Abu Bakar di sini Sabtu.

Majlis Peguam, katanya, sentiasa memihak kepada ketua pembangkang itu dalam banyak perkara dan dalam kes ini, secara tidak sedar ia sudah mengiyakan perbuatan liwat membabitkan Anwar.

Razali berkata dalam kes itu tidak timbul soal suka sama suka kerana yang penting ialah perbuatan liwat adalah satu kesalahan undang-undang dan Saiful sudah membawa kes ini ke mahkamah untuk mencari keadilan.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong dalam kenyataanya Selasa lalu antara lain berkata hukuman terhadap Anwar itu tidak wajar kerana perbuatan itu dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang yang sudah dewasa.

Christopher mendakwa bahawa kesalahan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan itu meletakkan liwat hanya diguna pakai sekiranya perbuatan itu atas dasar secara paksaan dan dalam kes Anwar, ia berlaku atas dasar kerelaan mangsa.

Razali berkata semua pihak sepatutnya tidak mempertikai keputusan mahkamah kerana proses menuntut keadilan sudah diberikan kepada Anwar tetapi terbukti beliau bersalah dan rakyat sudah menerima keputusan itu.

Artikel Lain