Polis Ada Maklumat Kes Tembak Di Kota Kinabalu - Semasa | mStar

Polis Ada Maklumat Kes Tembak Di Kota Kinabalu

TAWAU: Polis telah mengkaji rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis yang terlibat dengan kejadian tembakan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu lewat malam Jumaat lepas dan memperoleh sedikit maklumat mengenai suspek dan laluan yang digunakan mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata hasil pemeriksaan awal ke atas rakaman CCTV itu mendapati perbuatan itu dilakukan sekumpulan remaja yang menaiki kenderaan yang menggunakan senapang angin berpeluru 'ball bearing' dan guli.

"Namun terlalu awal untuk membuat pengesahan sama ada penjenayah terdiri daripada individu, kumpulan penjenayah atau tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan cara berkenaan untuk menggusarkan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini Sabtu malam.

Beliau mengulas kejadian kira-kira 25 premis di sekitar Kota Kinabalu yang mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja yang menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun dipetik sebagai berkata kejadian bermula pada pukul 11.45 malam dengn melibatkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, sembilan di Luyang dan tiga buah bank di Inanam.

Hamza berkata polis sedang menyiasat dan melihat dari semua sudut serta tidak menolak sebarang maklumat yang disalurkan selain mengadakan sekatan jalan raya dan Ops Cantas Khas bagi menyelesaikan kes itu.

Dalam pada itu, katanya satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Omar Mammah dan dianggotai semua jabatan polis telah ditubuhkan.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat dengan lebih terperinci berhubung penggunaan senapang angin berpeluru guli atau lastik mahupun senjata yang telah diubah suai bagi tujuan khianat itu.

"Apa yang saya dapat sahkan ialah laporan berkaitan kejadian kerosakan dan pecah cermin itu memang benar tetapi bukan menggunakan peluru senjata api tetapi senapang angin berpeluru bolbering dan guli," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada insiden tembak-menembak seperti yang dilaporkan di media sosial kerana premis yang didakwa berlakunya kejadian itu tidak wujud dan gambar yang tersebar juga adalah tidak betul.

"Ini mungkin tindakan mereka yang tidak senang melihat kestabilan dan keamanan negeri ini dan cuba mengganggu-gugat keamanan di negeri ini," katanya sambil menambah agar orang ramai tidak gusar dengan kejadian itu.

Katanya laporan insiden tembakan adalah fitnah dan sasaran penjenayah terbabit hanya kepada premis dan bukan manusia.

Sementara itu Jauteh turut menafikan sebarang khabar angin termasuk insiden tembakan di beberapa premis di sekitar Kota Kinabalu malam tadi.

"Berita mengenai suspek sudah diberks juga adalah tidak benar sebaliknya ia mungkin disebarkan oleh orang ramai yang panik dan gusar atau mengambil kesempatan. Tiada kejadian terbaru dilaporkan setakat malam tadi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain