suria

Nama Besar Yang Menang & Kalah Dalam Pemilihan Sayap Umno

(dari kiri) Datuk Mashitah Ibrahim, Datuk Paduka Seripah Noli Syed Hussin, Shahanim Yusoff tewas untuk jawatan exco Pergerakan Wanita Umno.
(dari kiri) Datuk Mashitah Ibrahim, Datuk Paduka Seripah Noli Syed Hussin, Shahanim Yusoff tewas untuk jawatan exco Pergerakan Wanita Umno.
(dari kiri) Datuk Mashitah Ibrahim, Datuk Paduka Seripah Noli Syed Hussin, Shahanim Yusoff tewas untuk jawatan exco Pergerakan Wanita Umno.

KUALA LUMPUR: Pemilihan pucuk pimpinan sayap Umno di peringkat bahagian dan nasional Sabtu lalu telah menyaksikan beberapa nama sama ada dari kalangan keluarga politik atau individu yang besar menang dan kalah.

Antara nama besar yang tewas ialah Senator Datuk Mashitah Ibrahim dan Datuk Paduka Seripah Noli Syed Hussin untuk jawatan exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Seorang lagi nama besar yang tewas ialah bekas Naib Puteri Umno Malaysia, Shahanim Yusoff.

Calon Ketua Puteri Umno Malaysia, Jamilah Hanim Othman bukan sahaja tewas di tangan Mas Ermieyati Samsudin malah turut tewas mengejut di tangan Nor Azmah Abdullah untuk jawatan Ketua Puteri Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Sementara nama besar dalam pemilihan Pergerakan Pemuda yang tewas mengejut ialah Pengerusi Tetap Pemuda Umno Malaysia yang juga Pengerusi Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Berikut adalah senarai lain-lain nama besar atau dari kalangan keluarga politik yang berjaya dan gagal mendapat tempat pada pemilihan Sabtu lalu:

> Bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad menang kerusi Exco Wanita Umno Malaysia;

> Seorang lagi bekas Ketua Puteri Umno, Rosnah Abd Rashid menang kerusi Exco Wanita Umno Malaysia;

> Ulama muda, Fathul Bari Mat Jahya menang undi tertinggi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia;

> Ketua Penerangan Wanita Umno Pusat yang juga Pengerusi Tekun Malaysia, Datuk Hamidah Osman tewas jawatan Ketua Wanita Bahagian Gopeng;

> Tokoh NGO, Datuk Jamelah Bakar menang kerusi Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia;

> Ketua Wanita Umno Bahagian Kota Baharu, Datin Nik Azizah Nik Yahya yang telah menyandang jawatan itu selama lapan penggal tewas di tangan Madihah Aziz, bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri di JPM;

> Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Puteh selama 33 tahun, Karimah Mohd Nor tewas ditangan bekas Ketua Puteri Bahagian, Zurina Rifin;

> Anak sulung calon Naib Presiden, Tan Sri Isa Samad, Mohd Najib bukan sahaja menang jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang tetapi juga menang kerusi Exco Pemuda Pusat dengan undi ketiga terbanyak;

> Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Mua'amar Ghadafi Jamaludin menang kerusi Exco Pemuda Umno Malaysia;

> Anak saudara Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Onn Hafiz Ghazi menang kerusi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dengan meraih undi keempat tertinggi. Onn juga telah memenangi kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong tanpa bertanding;

> Hahasrin Hashim, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menang kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenggara;

> Seorang lagi Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Dr Heazar Ismail pula menang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah;

> Anak Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, Adly Effendi, muncul pemenang kerusi Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Pilah;

> Dr Faizal Tajuddin, anak kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, terpilih sebagai Ketua Pemuda Bahagian Pasir Salak yang baru;

> Pelakon terkenal, Anne Ngasri, menang jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang;

> Seorang lagi pelakon Zed Zaidi bagaimana pun tewas dalam percubaan pertamanya untuk bergerak aktif dalam arena politik kebangsaan apabila tewas dalam merebut salah satu kerusi Exco Pemuda Umno Malaysia;

> Bekas Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman, mengekalkan jawatan Ketua Wanita Umno Bahagian Paya Besar.

Artikel Sebelum

Umno Pantau 'Cai' Senarai Calon

Artikel Lain