suria

Lokasi Kem Lima Batalion ATM, PGA Di Esscom Dikenal Pasti

LAHAD DATU: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sudah mengenal pasti lokasi untuk membina kem bagi lima batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di situ.

Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata bagi ATM, mereka akan ditempatkan di Kudat, Lahad Datu (Felda Sahabat) dan Semporna manakala untuk PGA, masing-masing satu batalion di Semporna dan Kunak.

"Untuk kem ATM di Felda Sahabat, keputusan sudah dibuat supaya Felda sendiri melalui Felda Global Ventures akan membina kem berkenaan. Lokasi termasuk tanah sudah dikenal pasti, namun pelaksanaannya masih di peringkat perbincangan," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Menurut Mohammad, pada masa ini ESSCOM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan Sabah sedang berbincang bagi pemerolehan tanah di lokasi yang dikenal pasti.

Beliau berkata setakat ini tempoh siap projek terbabit belum ditetapkan namun dijangka kem ATM di Felda Sahabat akan disiapkan lebih awal berbanding kem-kem lain.

Mengenai cadangan penambahan dua batalion PGA di Esscom, Mohammad berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

Beliau turut menegaskan sekalipun kem untuk lima batalion terbabit belum dibina, operasi keselamatan Esscom tidak terjejas kerana dua batalion tentera dan pos kawalan PGA sedia ada beroperasi secara optimum.

Mohammad sebelum itu menerima sumbangan produk minuman kopi daripada Syarikat Mak Okid Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain