suria

Shahrizat Tidak Berpihak Mana-Mana Calon Naib Ketua Wanita - Suraya

Suraya Yaacob.
Suraya Yaacob.
Suraya Yaacob.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, Ketua Wanita pergerakan itu, Datuk Sharizat Abdul Jalil tidak berpihak mana-mana calon Naib Ketua Wanita dalam pemilihan parti.

Beliau dalam akhbar Utusan Malaysia pada Jumaat dipetik sebagai berkata bahawa Shahrizat tidak memihak kepada sesiapa berhubung pertandingan jawatan itu sama ada beliau atau Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

"Saya tidak merasakan Datuk Seri Shahrizat memihak sesiapa. Tiada favouritisme.

"Cuma Datuk Azizah adalah lebih senior daripada saya dalam pergerakan Wanita dan juga seorang Timbalan Menteri, sebab itu penghormatan diberikan kepadanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya komen mengenai cakap-cakap bahawa Shahrizat lebih selesa dengan Azizah sebagai Naib Ketua Wanita.

Suraya dan Azizah masing-masing akan merebut jawatan Naib Ketua Wanita dalam pemilihan parti bagi sayap Wanita pada 12 Oktober ini.

Bagaimanapun Suraya berkata, beliau berharap perwakilan dapat melihat pemilihan ini penting untuk menguruskan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menjelaskan bahawa ia bukan soal jawatan tetapi adalah keutamaan dalam mempersiapkan parti.

"Saya rasa masanya sudah sesuai bagi transformasi Wanita untuk kita memiliki barisan kepimpinan yang muda," katanya.

Suraya yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang dalam tiga pilihan raya umum berturut-turut juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Artikel Lain