suria

Pemilihan Umno: Adun Kuala Besut Mahu Tumpu Jadi Wakil Rakyat

BESUT: Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, beliau tidak akan menandingi sebarang jawatan pada pemilihan Umno kali ini kerana mahu menumpukan kepada tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya tidak berhasrat bertanding baik untuk peringkat Pemuda bahagian mahupun bahagian," katanya kepada Bernama, di sini Ahad.

Beliau mengulas gesaan beberapa pihak yang mahu wakil rakyat muda itu bertanding untuk jawatan ketua Pemuda Umno Besut.

Jawatan itu akan dikosongkan oleh Mohd Mahdi Musa yang mencapai had umur.

Tengku Zaihan, 37, yang menang kerusi dewan undangan negeri itu pada pilihan raya kecil bulan lepas, ketika ini hanya memegang jawatan anggota jawatankuasa Umno Cawangan Kampung Nail, Kuala Besut.

Pada pilihan raya kecil yang berlangsung 24 Julai lepas, Tengku Zaihan mengatasi calon PAS Endut@Azlan Yusoh dengan kelebihan 2,595 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain