suria

Faktor Geografi, Politik Sebabkan Populasi Warga Asing Meningkat Di Sabah - Saksi

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin di Sabah pada Isnin diberitahu faktor geografi dan politik menyebabkan jumlah populasi pendatang asing di negeri itu meningkat dengan drastik sejak tahun 1963 sehingga 2012.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak Datuk Abu Bakar Mat berkata faktor tersebut menyebabkan pengeluaran kad pengenalan (IC) biru kepada golongan pendatang meningkat di Sabah dalam tempoh 49 tahun itu.

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Abu Bakar berkata sebanyak 5,753 IC biru dikeluarkan kepada warga asing di Sarawak selepas mereka memperoleh taraf sebagai warganegara sejak 1963 sehingga akhir tahun lepas.

Ditanya Manoj mengenai pendapatnya mengapa jumlah pengeluaran IC di Sarawak amat ketara perbezaaanya berbanding 66,000 di Sabah dalam tempoh yang sama, Abu Bakar berkata ia bergantung kepada keadaan di negeri masing-masing.

"Secara peribadi saya nampak lokasi di Sarawak berbeza dengan di Sabah. Kedudukan geografi di Sabah yang hampir dengan Filipina dan juga faktor politik menyebabkan jumlah populasi warga asing meningkat di Sabah berbanding di Sarawak," katanya.

Saksi ke-63 itu juga berkata kedudukan Sabah yang berdekatan dengan perairan laut dan juga bersempadan dengan Filipina juga merupakan faktor pendatang asing berhijrah ke negeri itu berbanding Sarawak.

Ketika ditanya mengenai cadangannya bagi menangani masalah pendatang asing di Sabah, Abu Bakar berkata ia boleh dilakukan dengan mengetatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sempadan negeri itu dan juga dengan mewujudkan lebih banyak pintu masuk imigresen bagi memastikan kemasukan secara sah.

Abu Bakar yang memegang jawatan itu sejak tahun 2003 juga berkata pada 1966 sehingga 1980 permohonan IC di Sarawak mestilah disertakan dengan sijil perakuan taraf dan sijil kelahiran.

Beliau berkata selepas 1980 hanya sijil kelahiran sahaja diperlukan untuk memohon IC dan sijil perakuan taraf tidak boleh lagi digunakan.

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong juga diberitahu bahawa implikasi sosial seperti gejala dadah, mencuri, kesihatan, dan kebersihan banyak berlaku di negeri itu disebabkan masalah setinggan yang didiami rakyat tempatan dan juga warga asing.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain