suria

Idris Yakin Pendidikan Seimbang Mampu Jadikan Malaysia Negara Yang Hebat

Datuk Seri Idris Jusoh
 Datuk Seri Idris Jusoh
Datuk Seri Idris Jusoh

BESUT: Menteri Pelajaran II Datuk Seri Idris Jusoh yakin Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang hebat di dunia melalui proses pendidikan yang baik dan seimbang.

Katanya keseimbangan antara pendidikan dan akhlak perlu bagi sesebuah negara yang membangun seperti Malaysia kerana cara yang sama telah diamalkan di Finland yang terkenal sebagai sebuah negara yang maju dan aman.

"Untuk itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memerlukan sokongan daripada rakyat supaya pelbagai agenda pendidikan yang telah dirancang dapat dilaksanakan tanpa tersekat di mana-mana," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Tok Has di sini ketika mengadakan jamuan kesyukuran kepada penduduk dan warga pendidik pada SAbtu.

Menurutnya dalam memastikan matlamat dan visi kerajaan itu tercapai pihaknya akan berlaku adil kepada semua pihak untuk melaksanakan agenda pendidikan negara.

Sehubungan itu Idris berkata beliau akan membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memastikan pendidikan negara berjalan mengikut landasan yang betul dan tepat. "Berilah saya masa sebulan untuk mengenali Kementerian Pelajaran bagi membolehkan saya dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkesan bersama Tan Sri Muhyiddin," katanya.

Sehubungan dengan usaha untuk memajukan pendidikan negara, beliau berkata para pendidik di semua peringkat mestilah berminat terhadap profesion mereka.

Katanya para pendidik perlu mempunyai cita rasa yang mereka merupakan golongan hebat dalam membantu usaha kerajaan membina generasi masa depan yang terbaik untuk negara.

"Pendidik merupakan kerjaya yang hebat dan suci lagi mulia dan mereka yang telah menjadi pendidik patut bersyukur kerana mereka dipilih di dalam tugas ini," kata Idris. -BERNAMA

Artikel Lain